KOTA BHARU: Susulan musim kemarau yang disifatkan terburuk sejak 20 tahun lalu, seramai 200 penduduk Kampung Melor Lama di sini, hari ini mengadakan solat hajat memohon Allah SWT menurunkan hujan.
Imam Muda Masjid Mukim Haji Hussin, Melor Lama, Ahmad Rosli Mohamad berkata, solat sunat itu diadakan di sawah yang diusahakan penduduk sebagai sumber rezeki.
Kemarau menyebabkan telaga kering kontang dan hasil padi musnah sepenuhnya, menjejaskan kehidupan penduduk kampung berkenaan serta kawasan sekitar.
“Cuaca kali ini paling teruk dalam sejarah, telaga menjadi kering, tanaman padi tak dapat diambil hasil.
“Kita solat sunat memohon Allah SWT menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau yang berpanjangan ini,” katanya ketika ditemui dalam program solat hajat itu di Kampung Melor Lama, di sini, hari ini.
Ahmad Rosli berkata, kira-kira 30 orang penduduk di kampung itu mengusahakan tanaman padi yang menjadi pekerjaan warisan keluarga.
Petani, Mohd Zain Senik, 67 berkata, musim ini dia hanya mampu mengutip satu pertiga daripada 4.8 hektar tanaman padi yang diusahakan.
Katanya, biasanya dia mampu mengutip hasil RM100,000 namun kali ini mengalami kerugian lebih RM80,000.
“Tahun ini kali pertama saya alami kerugian seteruk ini, modal nak tanam semula padi tak tahu nak ambil mana.
“Sepatutnya sudah boleh hasil, tapi padi menjadi ‘hampa’ kerana sawah terlalu kering, paling teruk sejak saya tanam padi 20 tahun lalu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.