comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk terjejas banjir akibat projek ECRL akan dipindahkan sementara

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – FOTO: Fail NST

SHAH ALAM: Penghuni di 21 rumah di Sungai Chinchin yang terjejas dengan banjir berikutan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran kawasan itu akan dipindahkan buat sementara waktu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia membabitkan rumah yang berada di kawasan rendah dan berisiko dinaiki air sepanjang proses pembinaan dilaksanakan.

Katanya, keputusan itu antara ketetapan yang dipersetujui menerusi mesyuarat khas dengan Pegawai Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pihak Malaysia Rail Link (MRL), wakil penduduk Sungai Chinchin dan pihak berkaitan.

“Saya sudah memanggil satu mesyuarat membabitkan pihak berkaitan bagi membincangkan isu terkait pembinaan ECRL berhampiran Sungai Chinchin yang menimbulkan keresahan dan kesan kepada penduduk Sungai Chinchin dan Gombak Utara.

“Salah satu masalah utama adalah peningkatan kekerapan kejadian banjir kilat, pencemaran bunyi, pencemaran udara dan habuk juga insiden paip pecah.

“Justeru, beberapa ketetapan sudah dipersetujui dan saya mengarahkan agar tindakan segera dilaksanakan antaranya pemindahan sementara 21 rumah ke rumah sewa yang mana kos ditanggung pihak MRL,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, bagi peringkat jangka panjang, sebuah kolam tadahan akan dibina bagi mengatasi banjir kilat yang berlaku.

Katanya, MRL juga bersetuju menanggung kos membaiki kerosakan rumah yang disebabkan letupan bahan serta jalan utama yang turut terkesan.

“Pihak MRL mengambil maklum dan bersetuju menghentikan kerja pada Ahad dan hari-hari tertentu seperti hari peperiksaan.

“InsyaAllah, pejabat Parlimen Gombak akan memberi kerjasama kepada semua pihak dalam memastikan kelancaran pembinaan ECRL tanpa mengabaikan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini