Tumpuan :
Nasional

Penduduk selatan Semenanjung, Sabah, Sarawak diminta waspada dengan luruan monsun

Foto hiasan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Penduduk di kawasan selatan Semenanjung, Sabah dan Sarawak diminta untuk berwaspada terhadap luruan monsun yang dijangka berlaku bermula hari ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata perkara itu turut dimaklumkan kepada semua Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada hari ini.

“Pagi tadi Jemaah Menteri telah diingatkan tentang amaran luruan monsun yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan ini akan berkuatkuasa sehingga 19 Januari.

“Tiga lokasi yang telah diberi amaran luruan monsun termasuk selatan Semenanjung Malaysia, Sarawak dan juga Sabah,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet.

Tambahnya, persiapan turut dilakukan di pelbagai peringkat termasuk agensi bagi menghadapi situasi berkenaan.

“Dari segi persiapan, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negarta (NADMA) sentiasa bersedia untuk hadapi dan bagi agensi kementerian-kementerian seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tujuan telekomunikasi.

“Kita dah minta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi,” tegasnya.

Sebelum ini METMalaysia yang melakukan analisis terhadap model-model ramalan cuaca terkini menunjukkan luruan monsun yang dijangka berlaku berpotensi menyebabkan hujan berterusan di selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dalam tempoh empat hari.

Loading...
Terkini