Tumpuan :
Nasional

Penduduk sanggup panjat bukit cari internet

Menara pemancar telekomunikasi di Jalan Sungai Mas, Kuala Krai. – Foto : NSTP

KUALA KRAI:  Menara ada tetapi capaian internet pula tiada.

Itu yang perlu dihadapi kira-kira 300 penduduk tiga kampung di daerah Kuala Krai sejak sekian lama.

Tiga kampung yang mengalami masalah itu ialah Jalan Sungai Mas, Kampung Jeram Batu dan Kampung Enggong.

Justeru, mereka menggesa pihak berkaitan mempercepat pemasangan kabel optik pada menara pemancar telekomunikasi bagi mengatasi masalah capaian internet.

Penduduk Jalan Sungai Mas, Nasir Abdullah, 55, berkata sebelum ini beliau mengemuka aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai masalah itu.

“Mereka mengambil maklum dan satu menara telekomunikasi sudah siap dibina syarikat telco pada April lalu. Namun pemasangan kabel optik pada menara berkenaan masih belum dilaksanakan.

“Keadaan itu menyebabkan urusan penduduk terutama pelajar sekolah dan universiti terganggu kerana liputan internet yang sering terputus.

“Ada juga penduduk yang sanggup memanjat bukit sejauh tiga kilometer hanya untuk mendapatkan capaian internet yang laju,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Ismail Puteh, 70, berkata kebanyakan penduduk tidak berpuas hati dengan capaian internet di kawasan itu terlalu lemah.

“Dua anak saya mengusahakan perniagaan secara dalam talian dan masalah capaian internet yang dialami menyukarkan mereka setiap kali hendak berurusan dengan pelanggan.

“Ada ketikanya mereka terpaksa keluar ke jalan utama, dua kilometer dari rumah untuk mendapatkan capaian internet untuk membaca pesanan pelanggan,” katanya.

Peniaga dalam talian, Suzira Ismail, 25, pula berkata kemudahan internet sangat penting bukan sahaja untuk kecemasan, tetapi untuk memudahkan urusan jual beli.

“Sebagai peniaga yang menjual secara dalam talian, saya sentiasa berhadapan dengan masalah setiap kali melakukan transaksi atau menjawab pesanan pelanggan.

“Saya memohon kepada pihak yang berkenaan supaya menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Loading...
Terkini