JERANTUT: Kira-kira 400 penduduk Kampung Som bimbang dengan kemunculan dua gajah dewasa yang merosakkan tanaman mereka sejak dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu, Rafiz Azuan Ahmad 50, berkata seekor gajah betina muncul berhampiran rumah penduduk pada jam 11 malam manakala seekor lagi gajah jantan di kawasan ladang sawit Felcra.
Gajah betina yang dikenali sebagai ‘Yang Som’ seberat tiga tan itu mempunyai ukuran lilit tapak kaki kira kira 45 sentimeter manakala gajah jantan yang mempunyai tapak kaki kira kira 43 sentimeter dan dikatakan keluar dari Hutan Simpan Som bersempadan dengan kampung berkenaan.
Beliau mendakwa terdapat sekumpulan antara 15 hingga 18 gajah di kawasan Hutan Simpan Som, namun hanya seekor yang sering memasuki ke kawasan kampung.
“Setakat ini, haiwan berkenaan dikatakan sering muncul lewat tengah malam dengan memakan tanaman penduduk terutamanya pokok pisang.
“Penduduk percaya gajah berkenaan ingin mencari kawasan baru kerana kawasan rayaunya sudah diganggu-gugat oleh aktiviti manusia sehingga memasuki ke hutan Simpan Jerantut Tambahan berhampiran Felcra Hulu Som,” jelasnya.
Tambahnya, kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jerantut ada membuat rondaan sejak beberapa hari lalu dan memantau pintu pagar elektrik tempat gajah itu sering meloloskan diri.
Justeru, penduduk berharap gajah itu ditangkap dan dipindahkan ke tempat lain bagi menjamin keselamatan penduduk kerana kampung itu terletak bersempadan kawasan Hutan Simpan Som.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.