TUARAN: Lebih 30 penghuni beberapa rumah di Kampung Tambalugu, di sini, hidup dalam keadaan tidak selesa dan kebimbangan apabila kediaman mereka digenangi air berpanjangan akibat limpahan dari Loji Penapisan Air Telibong Dua berhampiran kampung itu lebih sedekad lalu.
Difahamkan, kejadian itu semakin bertambah buruk sejak kebelakangan ini, apabila paras air yang menjejaskan kediaman penduduk meningkat terutama ketika berlaku hujan lebat.
Tinjauan mendapati empat rumah penduduk dikenalpasti terjejas teruk digenangi air dipercayai limpahan dari loji penapisan air berkenaan mencapai paras lutut dan tidak pernah kering.
Wakil penduduk, Stanley Jungkat, 62, berkata faktor utama penyebab air yang menggenangi kawasan rumah penduduk berpunca ketiadaan sistem perparitan untuk mengalirkan air ke sungai berhampiran.
“Kejadian itu menyebabkan ada rumah penduduk terbabit mengalami mendapan dan berisiko boleh roboh apabila tapak kediaman menjadi lembut.
“Semua itu berpunca air dipercayai limpahan dari loji penapisan air berhampiran tidak pernah kering, walaupun ketika musim panas.
“Permasalahan itu sudah kerap kali disuarakan penduduk terjejas kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan diambil menanganinya sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, beberapa bidang tanah pertanian milik penduduk Tambalugu yang terjejas teruk oleh masalah air bertakung itu tidak lagi dapat diusahakan sejak kejadian itu berlaku.
Sehubungan itu, dia melaporkan kejadian itu kepada Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau untuk mendapat perhatian serta tindakan penyelesaian.
Katanya, penduduk berharap Madius dapat campur tangan dalam menyelesaikan masalah itu, sebelum kejadian lebih buruk berlaku dan sukar ditangani.
Sementara itu, penduduk terjejas sanggup dipindahkan ke lokasi lain yang lebih selesa dan selamat, asalkan mereka bebas daripada masalah dihadapi sekarang.
Dalam perkembangan berkaitan, Madius memberi jaminan akan turun padang melihat sendiri masalah dihadapi penduduk Tambalugu dalam waktu terdekat.
Katanya, antara pendekatan akan dicadangkan kepada kerajaan memindahkan penduduk Tambalugu ke lokasi baharu sebagai jalan penyelesaian jangka panjang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.