Tumpuan :
Nasional

Penduduk resah banjir di Kampung Paya Garuk bagai tidak kesudahan

Kawasan persimpangan ke Kampung Paya Garuk ditenggelami air pagi ini. FOTO NSTP

JERANTUT: Persimpangan di Kampung Paya Garuk yang sering ditenggelami air setiap kali musim tengkujuh sejak beberapa dekad lalu, sentiasa menghantui penduduk di Mukim Tembeling Tengah, Ulu Tembeling dan dua buah Felda yang kerap terputus hubungan dengan bandar Jerantut.

Kira-kira 5,000 penduduk yang menggunakan Jalan Jerantut – Kuala Tahan terputus hubungan apabila paras air naik sehingga satu meter dan Jarak sejauh kira-kira 100 meter pada jam 9.00 pagi ini.

Seorang penduduk Felda Sungai Retang, Suhaimi Kamaruddin, 45, berkata Jambatan Kampung Paya Garuk merupakan kawasan kritikal setiap kali musim tengkujuh.

“Di sini lah penanda aras, bila paras lebih satu meter, semua kenderaan tidak boleh melaluinya dan terpaksa mengguna khidmat bot untuk menyeberangi kawasan tenggelam.

“Saya kalau mahu ke bandar terpaksa meninggalkan kereta dan naik bot ke seberang dan minta jasa adik yang tinggal di Jerantut Feri menjemput saya,” katanya.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan pengunjung yang bercuti di Taman Negara dibawa keluar oleh pengusaha pusat inap dan pihak berkuasa berikutan banjir di laluan tersebut.

“Diharapkan projek meninggikan jalan raya di Simpang Paya Garok segera dilakukan oleh kerajaan memandangkan di sini merupakan laluan utama penduduk Felda, Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling untuk berurusan ke bandar Jerantut,” katanya.

Dalam pada itu penduduk Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Farhan Nasaruddin, 30, pula berkata urusan membeli bekalan harian di bandar terganggu kerana kawasan itu dinaiki air.

“Sudah menjadi kelaziman ketika luruan Monsun Timur Laut (MTL), kejadian air Sungai Tembeling dari ulu bercantum dengan Sungai Jelai akan turun dan melimpah di Simpang Paya Garok akan tenggelam, orang kawasan ini sudah sedia maklum.

“Sewajarnya kawasan yang kerap berlaku banjir perlu dinaik taraf dan aras jalan perlu ditinggikan kerana kejadian ini sudah berlaku puluhan tahun,” katanya.

Katanya, kejadian ini juga sedikit sebanyak menjejaskan aktiviti pelancong luar dan pelawat domestik untuk bercuti ke Taman Negara sekali gus menjejaskan sektor pelancongan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini