Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk rayu segerakan projek tebatan banjir  

 

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LANGAT: Hanya dalam tempoh kurang 2 jam, air bah melimpah tatkala berlaku hujan.

Keadaan itu menyebabkan penduduk di sekitar Jalan Perepat, Telok Panglima Garang, Selangor sering berasa cemas dan hidup dalam kebimbangan.

Projek tebatan banjir yang sepatutnya bermula April lalu juga masih tidak kelihatan.

Pada 19 Disember 2021, Jalan Telok Mengkuang pernah dilanda banjir besar hingga menenggelamkan separuh daripada kawasan perumahan.

Januari lalu, mimpi ngeri berulang apabila kediaman penduduk sekali lagi dimasuki air selepas kali terakhir kejadian sama pada November tahun lalu.

Saban tahun sejak 2015, musibah banjir melanda sehingga tiga kali setahun, oleh kerana sistem perparitan tebatan banjir yang masih tidak dilaksanakan.

Aduan juga telah dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Selangor bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan.

Dalam sepucuk surat yang dibalas kepada wakil penduduk Mac lalu, JPS memaklumkan banjir di Taman Dato’ Hormat itu, adalah disebabkan beberapa faktor termasuk sistem saliran yang tidak sempurna untuk mengalirkan air dari kawasan sekitar ke parit utama.

Jelas kenyataan itu, ia mengakibatkan risiko banjir terutama apabila berlaku pertembungan hujan lebat dan air pasang.

Keadaan saliran parit tanah sedia ada juga tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi serta tidak dapat menampung kuantiti air terutama semasa hujan lebat.

Tender projek telah dibuka pada 16 Februari, manakala kerja di lapangan sepatutnya bermula April lalu dengan merangkumi kerja menaiktaraf parit konkrit serta penjajaran semula sistem saliran yang tertumpu di Jalan Perepat dan Jalan Telok Mengkuang.

Penduduk, Zainal Abu Bakar.

Salah seorang penduduk Zainal Abu Bakar, 44, yang ditemui berkata, anggaran bagi sebuah rumah yang mengalami kerosakan termasuk perabut dan segala isi rumah boleh mencecah sehingga RM10,000 hingga RM15,000.

“Kami minta perkembangan projek itu sahaja, sebab tidak lama lagi akan memasuki bulan 12 dan musim hujan, sekarang pun sekali sekala hujan ada air naik penuh longkang dan parit, sehingga ke tempat kami.

“Kereta terpaksa kami alihkan juga bimbang enjin rosak dan kadang-kadang tidak boleh keluar ke tempat kerja ,” katanya.

Ketika tinjauan ini dilakukan, kami turut mendapati sampah pukal seperti bantal, botol plastik dan bekas makanan memenuhi parit, menjadi antara faktor penyumbang banjir.

Penduduk, Khalil Mohd Atan.

Seorang penghuni Khalil Mohd Atan,65, mendakwa dia yang tinggal di kawasan berkenaan sejak 30 tahun lalu cukup lali dengan kejadian terbabit.

Kesan banjir masih jelas di dinding, manakala barangan rumah juga ditempatkan di kawasan lebih tinggi sebagai persiapan menghadapi musibah pada bila-bila masa.

“Pada sebelah malam haritu, saya dengan isteri sehingga menitiskan air mata melihat air daripada belakang memasuki kaki lima rumah,  koridor habis juga dipenuhi air.

“Malah ketika sehari sebelum majlis perkahwinan anak saya, air ada naik sedikit, khemah dan pelamin yang dipasang habis basah malam tu,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Ahmad Yunus Hairi.

Rayuan penduduk kami panjangkan kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Ahmad Yunus Hairi.

Katanya sebelum ini beliau juga pernah beberapa kali mengemukakan isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Namun, usaha itu ‘ibarat mencurah air ke daun keladi’, kerana sehingga kini masih tiada penyelesaian.

“Sepatutnya apabila sudah masuk dalam ‘tender board’ ,dalam tempoh enam bulan pelantikan (kontraktor projek) sudah boleh berlaku.

“Tetapi sehingga setakat ini masih belum ada maklumat lagi, mungkin ada atau mungkin tidak, sebab saya pun tidak tahu kerana tiada apa-apa permakluman daripada JPS sendiri,” jelasnya.

Isu itu sekali lagi kami ajukan pada JPS.

Dalam satu kenyataan JPS memaklumkan, kerajaan negeri melalui pihaknya telah meluluskan peruntukan bagi menjalankan kajian serta reka bentuk dan pelaksanaan kerja fizikal di tapak.

“Lantikan kontraktor dibuat bulan ini dan seterusnya kerja di lapangan dijangka dapat dimulakan September depan.

“Manakala bagi isu parit yang tidak diselenggara, kerja-kerja penyelenggaraan parit utama telah dilaksanakan Mei lalu,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, jabatan atau agensi berkaitan perlu membuat penyelenggaraan bagi memastikan aliran air dapat dialirkan ke parit utama JPS.

Loading...
Terkini