Tumpuan :
Nasional

Penduduk Pos Balar, Pos Belatim mohon tambah lampu solar

FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Lebih 2,000 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar dan Pos Belatim, di sini, berharap bilangan lampu solar di penempatan mereka ditambah.

Penghulu Kampung Sempadik, Pos Belatim, Husin Dollah berkata, sehingga kini penduduk di kawasan pedalaman daerah ini masih menggunakan pelita dan lilin pada waktu malam untuk menerangi rumah mereka.

Katanya, pemasangan lampu solar di kawasan rumah mereka sangat membantu untuk menerangi dan dapat menghalang haiwan liar menghampiri rumah mereka.

“Bagi penduduk yang berkemampuan mereka akan membeli lampu solar atau penjana elektrik untuk menerangi rumah mereka, tetapi bagi kami yang tidak berkemampuan hanya menggunakan lilin atau pelita dan keadaan di kawasan luar rumah sangat gelap.

“Kemudahan lampu solar kini menjadi keperluan utama buat kami bagi memudahkan urusan terutama pada waktu pagi untuk menghantar anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Pos Belatim, di sini.

Aga Along, 55, berkata, tambahan lampu solar itu penting kerana mereka sering berdepan ancaman gajah liar pada waktu malam.

Katanya, tanaman sara diri yang diusahakan penduduk kampung semakin berkurangan kerana ancaman gajah liar.

“Keadaan kawasan kampung yang tiada lampu jalan atau lampu solar menyebabkan penduduk terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk membeli lampu suluh dan mengehadkan aktiviti di luar rumah pada waktu malam.

“Kami berharap pihak berwajib dapat menambah bilangan lampu solar kerana perkampungan Orang Asli sangat gelap pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat menyegerakan penambahan lampu solar di kampung Orang Asli yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

Katanya, sebelum ini pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sudah melaksanakan pemasangan lampu solar di kawasan pedalaman, namun masih belum mencukupi kerana bilangan penduduk Orang Asli dan rumah yang semakin bertambah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini