comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk Orang Asli bimbang kemunculan gajah liar

Kelibat gajah liar yang sempat dirakam penduduk di RPS Pos Pasik, pagi tadi. FOTO: Ihsan penduduk

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik hidup dalam kebimbangan dengan kemunculan seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan perkampungan itu sejak tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa gajah liar jantan itu turut merosakkan tanaman penduduk sehingga memberi kesan kepada sumber pendapatan masyarakat Orang Asli Temiar di perkampungan itu.

Penduduk, Mohd Sani Nahtiman berkata, dalam kejadian terbaharu pagi tadi, dia dikejutkan dengan kemunculan gajah liar di hadapan rumahnya.

Katanya, dia sempat merakam kelibat haiwan itu yang merosakkan pokok kelapa yang ditanamnya.

“Kira-kira 7.30 pagi tadi, saya hendak keluar rumah dan terkejut melihat seekor ‘abang besar’ sedang makan tanaman saya.

“Kunjungan ‘abang besar’ ini sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk.

“Kami penduduk di sini menyara hidup dengan bercucuk tanam, tetapi apabila dirosakkan gajah liar, akan terputus sumber makanan kami di sini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut Mohd Sani, kemunculan gajah liar terbabit juga membimbangkan penduduk yang mahu menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi.

Katanya, sudah beberapa kali, penduduk terserempak dengan haiwan liar itu yang berkeliaran dalam kawasan kampung.

“Kami bimbang sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini sehingga boleh mengancam nyawa penduduk.

“Beberapa laporan sudah dibuat dan saya harap ada tindakan segera daripada pihak berwajib bagi menjaga keselamatan kami penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini