comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk mahu SADA sedia pelan kontigensi penghantaran air

Oleh Kumaran Rajamoney

KULIM: Kejadian penurunan mendadak paras air sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu barrage Sungai Muda mengakibatkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di tiga daerah di negeri Kedah sejak Ahad.

Syarikat Air Darul Aman Sendirian Berhad (SADA) dalam kenyataannya memaklumkan kerosakan itu berjaya diperbaiki bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani – Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech beroperasi pada kapasiti penuh.

Setakat jam 2 petang tadi, SADA melaporkan 75 peratus gangguan bekalan air pulih di daerah Kuala Muda dan 100 peratus pulih di daerah Kulim.

Tinjauan Buletin TV3 bagaimanapun mendapati banyak kawasan di hujung aliran masih belum menerima bekalan air.

Di Taman Kenari Kulim, penduduk tidak menerima air sejak dua hari lalu dan terpaksa berhadapan pelbagai kesukaran.

Ishak Hashim, 53 berkata gangguan itu mengakibatkan anak-anaknya tidak dapat ke sekolah.

“Semalam kebetulan hujan. Kami pakat tadah air hujan. Pagi tadi air itu kami gunakan untuk sekadar membasuh muka.”

“Makanan pula tidak dapat dimasak. Bayangkan kalau kos makanan dari sarapan ke makanan malam terpaksa dibeli untuk seisi keluarga. Begitulah nasib kami.”

Ahmad Ridzwan Rosli, 31 pula terpaksa membeli air minuman dalam botol sebagai bekalan untuk kegunaan harian.

“Saya ada anak yang masih kecil. Keutamaan air ini adalah untuk keperluan dia. Kalau untuk kami yang dewasa, terpaksalah kami berjimat kerana harga air minuman dalam botol ini bukan murah.”

Rapiah Idris, 63 pula mengharapkan pihak SADA lebih peka dengan keperluan penduduk di kawasan terjejas dan menyediakan pelan penghantaran air yang tersusun.

“Saya ni pernah patah bahu. Hendak diharap saya pergi mengangkut air di kawasan yang jauh jaranya memang susah. SADA sewajarnya sediakan lori untuk menghantar air ke rumah penduduk yang terjejas.”

SADA menyediakan Pusat Agihan Bekalan (PAB) iaitu masing-masing 10 lokasi di Kuala Muda dan Kulim.

Untuk rekod, gangguan bekalan air itu menjejaskan 252,000 akaun di pelbagai kawasan antaranya di Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama lain.

Loading...
Terkini