Tumpuan :
Nasional

Penduduk lega, harimau dahan akhirnya masuk perangkap

Harimau dahan yang ditangkap di Kampung Lubuk Tualang pagi semalam. -FOTO Ihsan Facebook pembaca

SIK: Seekor harimau dahan jantan yang berkeliaran di pinggir Kampung Lubuk Tualang di sini, ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), semalam.

Pengarah PERHILITAN negeri, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, tangkapan itu susulan aduan daripada penduduk pada Ahad lalu, mengenai serangan harimau dahan terhadap ternakan dan binatang peliharaan mereka.

Beliau berkata, pada hari sama, kakitangan PERHILITAN daerah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan mendapati kesan tapak dan kesan masih baharu pada beruk peliharaan pengadu.

Susulan itu katanya, anggota memasang satu unit perangkap di lokasi aduan dengan berumpankan karkas beruk berkenaan.

“Akhirnya, pagi tadi (semalam) didapati seekor harimau dahan (Neofelis nebulosa) jantan dewasa memasuki perangkap,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, jabatan berkenaan akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap haiwan itu.

Katanya, sekiranya harimau dahan itu tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, ia akan dipindahkan ke habitat yang jauh dari penempatan manusia.

“Orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar. Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan PERHILITAN melalui talian Hotline Perhilitan 1-800-88-5151 atau eaduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Lubuk Tualang, Mohamad Wahab, 38, berkata, sejak beberapa bulan lalu, orang kampung takut untuk keluar menoreh getah atau ke kebun kerana sering terserempak dengan harimau berkenaan.

Katanya, sebelum ini, harimau itu pernah menyerang seekor kambing milik sepupunya kemudian menyerang seekor beruk peliharaan orang kampung.

“Alhamdulillah, akhirnya harimau yang sering muncul berhampiran rumah penduduk sudah ditangkap… saiznya agak besar. Terima kasih kepada PERHILITAN,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini