HULU SELANGOR: Buaya tembaga yang ‘mendiami’ Tasik Kiambang, Serendah, di sini, yang menghantui penduduk hampir sebulan akhirnya memasuki perangkap, semalam.
Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, kejayaan itu susulan pemantauan dan penyelenggaraan umpan yang berterusan sejak 1 Disember lalu.
“Ini sekali gus membuahkan hasil di mana buaya tembaga itu memasuki perangkap yang dipasang.
Kehadiran reptilia jantan sepanjang kira-kira dua meter itu disedari kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 9.15 pagi.
“Kehadirannya disedari semasa anggota kami melakukan pemantauan harian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wan Mohd Adib berkata, seramai 11 kakitangan terbabit dalam proses pemindahan reptilia itu yang selesai pada 3 petang.
Menurutnya, buaya tembaga terbabit kemudian dipindahkan ke Paya Indah Wetland untuk pemeriksaan dan ditempatkan di pusat kuarantin.
Terdahulu, media melaporkan penduduk sekitar Tasik Kiambang, Serendah berada dalam ketakutan dengan kehadiran buaya berkenaan.