comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Penduduk Kuala Kedah derita tiada air hampir 3 bulan

 

Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA KEDAH: Saban tahun terutamanya menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, penduduk di Kuala Kedah dirundung perasaan hampa.

Semuanya kerana masalah gangguan bekalan air yang tidak pernah selesai meskipun kerajaan silih berganti.

Di sebalik tuduh-menuduh, tunding-menunding, masyarakat terlibat kecewa dan putus harapan.

Tinjauan Buletin TV3 di Kampung Tepi Laut, Tebengau mendapati penduduk berdepan gangguan bekalan air selama dua bulan kebelakangan ini sebelum pulih sementara minggu lalu, memberi sedikit kelegaan kepada ribuan penduduk di sini.

Namun, semua itu hanya sementara apabila penduduk sekali lagi ‘menadah angin’ dari paip di rumah mereka sehari sebelum menjelangnya Syawal.

Antara penduduk yang terkesan dengan masalah gangguan air di Kuala Kedah.

Mustaqim Radzi, 37 mendakwa lori yang menghantar bekalan air disediakan Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak membawa bekalan mencukupi bagi kegunaan setiap rumah dan menyebabkan penghuni di hujung laluan berputih mata.

“Lori masuk membawa bekalan yang tidak mencukupi. Kebanyakan rumah sudah menyiapkan tangki besar dihadapan rumah masing-masing selepas masalah ini berlarutan lama. Maka, selepas air diisi di tiga atau empat rumah, maka yang lain terpaksa berputih mata.”

Abdul Aziz Saad, 40 pula tidak berpuas hati dengan maklum balas pihak SADA berkaitan aduan dikemukakannya.

“Saya ada telefon untuk buat aduan. Namun, SADA dakwa tiada maklumat diterima mengenai masalah kami di sini. Walhal, inilah laluan lori SADA menghantar air setiap hari. Saya pelik kenapa jawapan sebegini.”

Dakwa penduduk, mereka terpaksa membeli air minuman dalam botol bagi kegunaan asas seperti berwuduk dan ke tandas.

Turut berhadapan masalah sama, penduduk di Kampung Tok Pasai.

Sufina Mohd Lazim, 45 kesal masalah mereka yang tiada air sehingga tiga bulan tidak mendapat perhatian sewajarnya dari SADA.

“Kami di sini lagi susah. Lori SADA tidak boleh masuk ke kawasan rumah kerana jalan yang sempit. Mana mungkin warga emas dapat mengangkut air dari jalan utama.”

“Kami suri rumah terpaksa merana memikir urusan harian. Bagaimana kami hendak memasak, membasuh pakaian sekiranya paip yang dibuka membawa angin semata-mata.”

Bakar Mat, 63 menyifatkan masalah itu tidak seharusnya berlaku kerana kedudukan kampung itu di kawasan pekan dan berhadapan Terminal Feri Kuala Kedah.

“Kami malu bila ada saudara mara yang hendak ke Langkawi mahu menumpang mandi atau menggunakan tandas di sini. Kami menderita kerana setiap aduan kami menjadi modal politik,” katanya.

Justeru, penduduk mendesak agar ada penyelesaian jangka pendek difikirkan sementara menunggu penyelesaian berskala besar termasuk pembinaan Loji Rawatan Air atau penukaran sistem paip.

Selain itu, SADA diminta memperkemas sistem komunikasi bersama pengguna dalam melayani aduan yang dikemukakan.

Loading...
Terkini