RANTAU PANJANG: Penduduk di sini mendakwa banjir kali ini merupakan yang terburuk selepas lebih 50 tahun dan ia benar-benar menakutkan.
Wan Sauzi Wan Jaafar, 65, berkata banjir kali ini lebih tragis berbanding bah merah yang pernah melanda Rantau Panjang pada tahun 1967 ketika dia masih kecil.
Katanya, dia sekeluarga yang menetap di Tasek Damai, Kampung Dangar, di sini, sejak 22 tahun lalu, tidak pernah berpindah namun kali ini situasi berbeza apabila bahagian dalam rumah kini dinaiki air separas 0.4 meter.
“Banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air kini turut tenggelam. Suasana menjadi huru-hara dengan penduduk yang panik seperti sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Alhamdulillah, saya dan isteri, Noraini Yusof, 48, serta dua anak dibantu anggota bomba yang terpaksa masuk ke kawasan penempatan menggunakan bot dengan meredah arus deras untuk dipindahkan ke tempat selamat di Gual Tinggi, di sini.
“Selain itu, dua buah kereta iaitu Perodua Kelisa dan Honda CRV serta sebuah motosikal milik saya turut ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui selepas diselamatkan anggota bomba di Gual Tinggi, di sini, hari ini.
Menurutnya, dalam situasi terbabit dia hanya memikirkan keselamatan diri dan nyawa keluarga selain reda dengan kemusnahan harta benda yang bakal dihadapi selepas ini.
Sementara itu, bagi Ibrahim Mat, 36, menganggap banjir kali ini adalah luar jangkaan selain tidak menyangka kata-kata ‘orang tua’ bahawa banjir besar akan melanda adalah tepat.
“Sebelum musim tengkujuh tiba ada sahaja yang berpesan supaya penduduk terutama di kawasan berdekatan sungai berhati-hati memandangkan tahun ini genap 10 tahun selepas kejadian bah besar 2014.
“Kami bukan sahaja terperangkap, bergelap kerana tiada elektrik malah terputus bekalan makanan. Tiada lagi harapan selain memohon doa kepada Yang Maha Esa semoga bah segera pulih,” katanya.
Tinjauan bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, semalam, mendapati keseluruhan pekan Rantau Panjang dinaiki air dengan paras air mencecah bumbung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.