Tumpuan :
Nasional

Penduduk Kampung Serian rayu jambatan dibaik pulih sebelum banjir gelombang ketiga

Mohd Azmawi Fikri (tiga kiri) meninjau keadaan jambatan di Kampung Serian. FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Serian di sini, merayu pihak berwajib dapat membaik pulih jambatan besi yang rosak akibat hakisan tanah selepas berlaku banjir gelombang pertama di kawasan itu lebih dua minggu lalu.

Penduduk mendakwa mereka menyedari struktur bawah jambatan sepanjang 10 meter itu sudah terhakis dan tidak selamat untuk dilalui selepas air sungai surut selepas banjir lebih dua minggu lalu.

 

Seorang penduduk, Muhamad Rofi Ismail, 58, berkata, jalan itu adalah laluan utama penduduk untuk ke bandar Gua Musang dan kebun mereka di samping digunakan setiap hari.

Katanya, kerosakan pada bawah struktur jambatan itu disedari penduduk yang berulang-alik menggunakan laluan itu selepas banjir surut.

“Penduduk kampung bimbang jambatan itu mungkin runtuh sepenuhnya sekiranya kerja-kerja pembaikan tidak dilakukan segera sehingga menyebabkan penduduk tidak dapat keluar dari penempatan mereka.

“Kira-kira sebulan lalu, jalan kampung kami termasuk jambatan ini diturap baharu oleh pihak berwajib. Namun pihak kontraktor tidak membuat sebarang penyelenggaraan terhadap jambatan yang rosak dan berlubang.

“Kerosakan yang berlaku pada jambatan kampung kami umpama seperti perangkap maut. Kami minta jasa baik pihak berwajib atau kontraktor dapat membaiki semula kerosakan yang berlaku kerana bimbang penduduk jatuh sungai apabila melaluinya yang boleh membahayakan nyawa,” katanya ketika ditemui di Kampung Serian di sini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk berhubung jambatan itu.

Katanya, dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera menyelenggara dan membaiki struktur jambatan untuk keselamatan penduduk terutamanya ketika musim tengkujuh ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini