Tumpuan :
Nasional

Penduduk harap pembenihan awan berhasil, tingkat paras air empangan

KUALA NERANG: Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan di Kedah bermula hari ini diharap dapat meningkatkan paras air khususnya di Empangan Muda dan Empangan Pedu, dekat sini, yang amat penting untuk kegunaan domestik dan pertanian.

Hal itu berikutan paras takungan di kedua-dua empangan tersebut yang semakin menyusut iaitu setakat hari ini masing-masing mencatatkan paras 8.36 peratus (Empangan Muda) dan 40.87 peratus (Empangan Pedu).

Penduduk Arman Che Ya, 43, berkata paras air di Tasik Pedu yang membekalkan air bagi Empangan Pedu terus menyusut sejak beberapa bulan lepas, namun situasi itu tidak terlalu buruk berbanding pada 2020 dan semasa fenomena El Nino pada 2016.

“Tadi saya ada nampak pesawat di udara, saya pun tak tahu ada pembenihan awan hari ini sehinggalah rakan saya beritahu tadi, saya harap pembenihan awan ini berjayalah untuk bantu naikan kembali takungan air di kawasan empangan ini.

“Jika paras air di Tasik Pedu ini menyusut lagi, ia akan menampakkan tanah perkuburan lama yang sebelum ini ditenggelami air, kalau tidak ada hujan lepas ni mungkin boleh nampaklah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, bagi Nadia Farhana Mohd Raznan, 37, yang berkunjung ke Tasik Pedu untuk melihat keadaan terkini, terkejut kerana paras air semakin susut berbanding dua minggu lepas.

“Saya harap OPA hari ini berjaya, walaupun ramai yang seronok lihat empangan kering tapi kita perlu risau juga sebab empangan ini menakung air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

“Saya lihat ada pesawat berlegar-legar kira-kira 15 minit, cuaca hari ini pun nampak redup, saya pun harap pembenihan awan ini berjaya dan hujan akan turun berterusan untuk bantu tingkatkan kembali paras air di empangan,” katanya yang berasal dari Alor Setar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata kerajaan akan melaksanakan OPA di Kedah dan Perak selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini.

Beliau berkata operasi itu bagi meningkatkan paras air di Empangan Bukit Merah, Perak dan Empangan Muda, Kedah untuk tujuan pertanian dan kegunaan air domestik.

Berdasarkan tinjauan di Tasik Pedu hari ini, kelihatan sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berlegar di ruang udara tasik itu dipercayai melakukan OPA sekitar 1.50 tengah hari tadi.

Tasik Pedu yang menempatkan Empangan Pedu hanya berjarak kira-kira 10 kilometer dari Tasik Gubir yang menempatkan Empangan Muda.

Dalam pada itu, laman web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyatakan paras takungan tiga empangan utama di negeri ini yang dikendalikan lembaga itu iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning berada pada tahap 45 peratus berbanding 47 peratus Khamis lepas.

MADA sebelum ini dalam kenyataan memaklumkan takungan di ketiga-tiga empangan itu masih dikategorikan sebagai normal dan tinggi jika dibandingkan dengan rekod terendah pernah dicatatkan sebelum ini.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini