GUA MUSANG: Pengguna laluan Gua Musang-Jeli dekat simpang masuk ke Kampung Jerek di sini, berharap laluan terbabit dapat dibaiki dan pulih sepenuhnya sebelum tibanya Aidilfitri tahun ini.
Penduduk mendakwa, jalan itu terbabit juga menjadi laluan utama apabila setiap kali tiba musim perayaan, selain Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Abd Razak Ramli, 59, berkata laluan terbabit menjadi sangat sibuk setiap kali tibanya musim perayaan, termasuk cuti sekolah baru-baru ini.
Beliau berkata, sejak lebih sebulan lalu penduduk dan pengguna laluan itu menggunakan laluan sementara yang strukturnya diperbuat daripada batu dan kayu balak.
“Keadaan jalan sementara sekarang memang boleh dilalui semua kenderaan termasuk kenderaan berat tetapi tetap berisiko kerana menggunakan kayu balak dan batu.
“Dalam keadaan cuaca panas sekarang jalan terbabit berdebu dan sangat bahaya kepada pengguna terutama yang pertama kali melaluinya.
“Jadi saya harap pembinaan dan proses membaiki jalan ini dapat di segerakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli,” katanya ketika ditemui di Kampung Jerek, di sini.
Pada November tahun lalu, media melaporkan Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 ditutup kepada semua kenderaan akibat jalan runtuh.
Keadaan itu menyebabkan ramai pengguna dan 3,000 penduduk di beberapa kampung di sekitar kawasan itu terjejas serta perlu menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.