Tumpuan :
Nasional

Penduduk gigih tangkap ratusan ikan timbul selepas banjir 

Penduduk kampung menyauk ikan yang timbul di permukaan air di pesisir Sungai Anak Bukit selepas banjir surut. -Foto: NSTP

ALOR SETAR: Kawasan pesisir Sungai Anak Bukit, di sini, bagaikan pesta apabila ramai penduduk mengambil peluang menjala dan menyauk ratusan ikan yang timbul di kawasan banjir itu sejak awal pagi tadi.

Tinjauan di Sungai Anak Bukit berhampiran Kampung Alor Senjaya dan Kampung Alor Ganu di sini mendapati, penduduk menggunakan sampan untuk menjala ikan yang timbul di permukaan air selain menggunakan penyauk di tepi sungai.

Antara ikan yang timbul ialah spesis lampam, baung, jelawat, talapia, kaloi dan udang galah.

Bagaimanapun penduduk mendakwa, mereka mengutip ikan berkenaan untuk diberikan kepada penduduk di kawasan terjejas banjir sebagai hidangan makanan.

Foto: NSTP

Namun, ada juga penduduk yang bercadang membuat ikan pekasam dan memberinya kepada penduduk berhampiran.

Penduduk, Azizan Ariffin, 52, berkata, dia menyedari ikan timbul di permukaan air sekitar jam 7 pagi tadi ketika pergi ke sungai itu untuk melihat sama ada air surut atau tidak selepas lapan hari banjir berlaku di negeri ini.

Katanya, dia yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumahnya dilanda banjir sejak Isnin lalu teruja melihat ikan yang banyak timbul di permukaan air sungai.

“Memang banyak ikan ‘mabuk’ ditemui hari ini selepas air sungai mulai surut akibat pertembungan air laut disebabkan air pasang besar dan arus deras.

“Sebaik melihat banyak ikan timbul di permukaan air, saya pergi memaklumkan kepada rakan-rakan lain di PPS dan mereka datang ke sini sambil membawa besen, timba, guni, penyauk dan jala untuk menangkap ikan berkenaan hanya sekadar suka-suka.

“Paling besar ikan kami dapat kutip hari ini ialah ikan jelawat seberat kira-kira lima kilogram (kg),” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Penduduk lain, Mohd Najmuddin Md Noor, 35, berkata, paling banyak ikan yang timbul adalah ikan lampam dan baung serta udang galah.

Katanya, penduduk kampung yang datang ke sini mampu mengutip ikan sebanyak hampir 50 kilogram (kg) keseluruhan ikan pelbagai spesis yang diperolehi.

“Memang selalunya kalau banjir besar seperti ini berlaku, pelbagai spesis ikan timbul di permukaan Sungai Anak Bukit yang menghubungkan Sungai Kedah ini,” katanya yang turut terkesan akibat banjir ini.

Mohd Anuar Zainol, 53, berkata, kejadian banjir kali ini menyebabkan banyak rumah yang dinaiki air seperti yang berlaku pada tahun 2010.

Katanya, banjir yang berlaku tahun ini tidak sebesar bencana yang berlaku kira-kira 13 tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini