PASIR GUDANG: Penduduk di kampung Perigi Acheh, dekat sini gempar seketika apabila salah satu struktur jambatan yang merentangi Sungai Kopok yang sedang dalam pembinaan, tiba-tiba runtuh awal pagi tadi, dipercayai berpunca daripada mendapan tanah.
Susulan kejadian itu, bekalan elektrik ke kampung berkenaan terputus kerana kabel elektrik sepanjang 300 meter yang diletakkan di bawah jambatan berkenaan turut terkesan.
Penduduk mendakwa, terdengar bunyi letupan yang kuat di jambatan itu kira-kira jam 5 pagi tadi.
“Selepas membuat pemeriksaan pagi tadi, kami mendapati salah satu struktur jambatan yang dalam pembinaan itu runtuh dipercayai berpunca dari mendapan tanah,” kata wakil penduduk yang dikenali sebagai Zaili Chik.
Ujarnya, dua jambatan yang merentasi Sungai Kopok mula dibina sejak 2019 bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh pada 2016.
Bagaimanapun projek itu dihentikan sementara beberapa tahun akibat pandemik Covid-19.
Bagi nelayan Jais Mata, runtuhan itu perlu dibaiki segera kerana ia menghalang laluan nelayan setempat untuk ke laut.
Katanya, meskipun bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa, namun langkah segera perlu diambil bagi mengelak lebih banyak runtuhan berlaku kerana cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini.