PASIR MAS: Keputusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyelaras semula projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1, diharapkan dapat memberi sinar baharu kepada penduduk sekitar daerah itu, selepas sering terkesan banjir sejak ia dilaksanakan.
Penduduk Kampung Tersang di Rantau Panjang Mohd Hirwan Faizal Rajiuon, 41, berkata sejak projek tebatan banjir itu bermula beliau sekeluarga terpaksa berpindah randah lebih 10 kali, selepas kediamannya dinaiki air sehingga mencecah paras bumbung.
“Saya berharap dengan adanya pelarasan semula projek ini, ia dapat memberi sinar baharu kepada penduduk sekitar sekali gus dapat mengikis kesan trauma kepada penduduk, setiap kali musim bah melanda.
“Projek berkenaan bukannya ditolak penduduk, kami berharap ia dapat dilakukan dengan lebih teliti agar tidak mendatangkan kesan buruk kepada penduduk, sementara menunggu projek PLBS berkenaan siap sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata JPS telah melaksanakan pelarasan terhadap projek PLSB Sungai Golok Fasa 1 yang sedang dalam pembinaan, bagi mengurangkan impak banjir terhadap kawasan sekitarnya.
Nik Nazmi berkata pelarasan dilakukan melibatkan beberapa perkara teknikal, termasuk memastikan aliran air dari Sungai Lanchang ke Sungai Golok dapat mengalir keluar dengan lebih baik.
Seorang lagi penduduk Roslan Deraman, 44, berkata pembinaan benteng sejak beberapa tahun lalu bagaikan mimpi ngeri, apabila penempatannya di Kampung Gual Periok, di sini, yang tidak pernah dilanda banjir turut digenangi air dengan paras yang tinggi.
Beliau berkata pihak pelaksana projek, sepatutnya mengambil kira kesan yang akan ditanggung oleh penduduk sehingga ada yang kehilangan rumah, mengalami kerosakan harta benda yang teruk dan sebagainya.
“Saya mewakili penduduk juga berharap dengan adanya pelarasan semula projek ini ia dapat memberi solusi yang terbaik terutamanya kepada penduduk di kawasan sekitar sekali gus tidak perlu lagi berdepan dengan episod cemas setiap kali berlaku hujan berpanjangan yang mengakibatkan banjir,” katanya. – BERNAMA