Tumpuan :
Nasional

Penduduk FELDA Perasu suram terputus bekalan air bersih hampir seminggu

Aesah menunjukkan tiada bekalan air bersih sejak seminggu lalu di FELDA Perasu – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Kegembiraan penduduk meraikan sambutan Aidilfitri di FELDA Perasu di sini, bertukar rasa kecewa dan terkilan apabila terputus bekalan air bersih sejak Ahad lalu.

Penduduk mendakwa, masalah terbabit berlaku kepada penduduk yang tinggal di kawasan tinggi di kawasan FELDA itu sudah hampir seminggu.

Menurut seorang penduduk, Mohd Rosmizi Rosli, 43, kerana masalah bekalan air bersih yang terputus, dia terpaksa memunggah air sungai untuk kegunaan harian setiap hari sejak Ahad.

Katanya, masalah bekalan air bersih yang terputus juga turut memberi kesan kepada perniagaannya yang menjual ayam proses di penempatan terbabit.

“Sejak hampir seminggu lalu saya terpaksa memunggah air sungai untuk kegunaan harian dan membersihkan ayam proses yang dijual.

“Aduan sudah dibuat sejak empat hari lalu kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan sehingga kini masih menanti tidak balas mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Manakala bagi seorang lagi penduduk Aesah Abd Kadir, 65, anaknya yang pulang berhari raya di kampung terpaksa memendekkan cuti dan pulang awal ke ibu kota.

Katanya, dia berasa kecewa apabila masalah ini sudah berlarutan hampir seminggu, sehingga menyebabkan hari raya yang disambut agak suram kerana tidak dapat memasak dan membasuh.

Aesah berharap masalah air itu dapat diselesaikan secepat mungkin kerana sudah tidak sanggup memunggah air, malah memberi kesan kepada aktiviti seharian penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini