comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk enggan pindah sukarkan kerja menyelamat

Jalan Kota Tinggi-Kulai (Ladang Alaf) FT94 ditutup sementara kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air banjir sedalam 0.4 meter sejak pagi ini. – FOTO: JKR

MERSING: Sebahagian penduduk yang degil dan enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan banjir dekat Ladang Mados, Ulu Tiram menyukarkan lagi kerja penyelamatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Faiz Ramli, berkata pemantauan dibuat anggota penyelamat sejak malam tadi berikutan hujan lebat.

Beliau berkata walaupun penduduk diarahkan berpindah ke PPS sejak pagi tadi, ada antara mereka yang enggan berbuat demikian.

Katanya, kawasan perkampungan Ladang Mados berdekatan dengan rizab sungai, dan apabila hujan terlalu lebat dalam tempoh sejam akan berisiko untuk banjir.

“Daripada tujuh rumah di kawasan berisiko, hanya penghuni dua rumah yang keluar ke PPS seperti diarahkan.

“Dengan kekuatan 28 anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan Mount Austin, telah menyelamatkan 46 penduduk dari Batu 10 Sungai Tiram, Lorong Mak Piah, Kampung Paya dan Kampung Sungai Serai.

“Paras air sungai berpotensi akan naik ketika air pasang. Masih terdapat beberapa orang penduduk di rumah masing-masing, termasuk rumah yang didiami warga asing. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) cuba menasihatkan penduduk dan menghubungi ketua kampung untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Mohd Shawaluddin Ami Nordin memaklumkan air pasang penuh dijangka berlaku pada jam 8 malam ini membabitkan kedalaman dua meter di Kota Tinggi.

Katanya justeru itu orang ramai diminta segera berpindah sekiranya arahan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Jika dapat arahan keluar rumah, kita minta jasa baik penduduk agar membawa dokumen penting dan kelengkapan ubat untuk berpindah ke PPS yang telah digazetkan supaya memudahkan usaha menyelamat.

“Kita tidak mahu bila waktu malam air sudah tinggi akan jadi masalah terutama ketika air pasang berlaku. Proses penyelamatan yang pada awalnya mudah akan menjadi sukar bila berlaku pada waktu malam,” katanya.

Loading...
Terkini