comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk dakwa PLSB Sungai Golok punca ‘banjir termenung’

Penduduk mengadakan demostrasi aman menyuarakan masalah mereka berkait Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok. FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Penduduk kampung berdekatan projek tebatan banjir, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, menggesa kerajaan membina terowong pada benteng terbabit bagi menyelesaikan masalah air tersekat.

Gesaan penduduk Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To’Deh itu berikutan ratusan rumah berdepan pula masalah banjir termenung sejak hampir sebulan kerana air tidak dapat mengalir ke sungai.

Sekurang-kurangnya 10 kampung mengalami masalah banjir termenung susulan projek PLSB, termasuk Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong, di sini.

Hari ini, sebahagian penduduk mengadakan demostrasi aman di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh bagi menyuarakan masalah mereka.

Meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad turun padang sekali lagi melihat situasi semasa, Ahli Jawatankuasa(AJK) Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Ariffin Ismail berkata, pembinaan pintu air sebelum ini tidak memberi kesan.

“Banjir ketika ini masih pada paras luar biasa. Jadi, pihak berkaitan harus mencari solusi segera atau pecahkan benteng supaya air yang tersekat boleh mengalir, seterusnya membebaskan ratusan rumah yang kini berdepan masalah banjir termenung.

Beliau berkata, jika pembinaan terowong tidak dapat dilaksanakan, kerajaan disaran menambah jumlah pintu air.

“Tambah sahaja pintu air dengan lebih banyak kerana yang sedia ada masih tidak dapat menampung aliran beberapa sungai, termasuk dari Empangan Bukit Kwong serta air sungai dari Tanah Merah,” katanya.

Sementara itu, Fatimah Hamad, 80, mengakui dengan usia sudah lanjut, dia sudah penat kerana perlu berpindah beberapa kali apabila banjir melanda paras tinggi sehingga air masuk ke dalam rumah.

“Memang rumah saya kerap kena banjir, tetapi sebelum ini boleh sahaja tinggal di rumah kerana paras air biasa-biasa sahaja, namun sejak projek berkenaan wujud, habis musnah harta benda saya.

“Air banjir juga bertakung terlalu lama, mula bertukar warna dan busuk menyebabkan kulit gatal. Risau penyakit bawaan air yang membahayakan, terutama risiko untuk orang tua dan kanak-kanak,” katanya.

Kerajaan sebelum ini, meluluskan peruntukan RM656 juta bagi PLSB Sungai Golok Fasa 1, membabitkan empat skop utama, iaitu Ban Banjir Sungai Golok (26.2 km), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 km), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.

Projek itu bertujuan mengurangkan masalah banjir di kawasan berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas, meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir.

Selain itu, mendalamkan muara Sungai Golok bagi penambahbaikan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini