KUALA LANGAT: Kedudukan kawasan perangkap sampah di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang terletak 500 meter daripada jalan besar dan berdekatan dengan kandang lembu dan kambing.
Ia sunyi dan dikatakan sering menjadi tumpuan pemancing serta habitat kepada buaya.
Ringkas AI
Lokasi Sunyi dan Berisiko: Kawasan perangkap sampah di Kampung RTB Bukit Changgang, terletak 500 meter dari jalan besar, sering menjadi tumpuan pemancing dan habitat buaya. Jalan tanah merah ke lokasi ini memudahkan akses kenderaan ringan.
Penemuan Mayat dan Kes Pembunuhan: Mayat yang dipercayai berkaitan kes kehilangan Yap Xin Yuan, 15, ditemukan di lokasi yang juga sering menjadi kawasan penemuan mayat lain. Tiga suspek, termasuk teman lelaki mangsa, ditahan untuk siasatan.
Kawasan Dipenuhi Sampah dan Berbau Asap: Kawasan sekitar perangkap sampah juga dilaporkan berfungsi sebagai tapak pelupusan sampah tidak rasmi, dengan jentera pengorek ditempatkan dan kepulan asap dari timbunan sampah.
Malah jalan ke lokasi penemuan mayat dipercayai mangsa pembunuhan dan ada kaitan dengan kes kehilangan Yap Xin Yuan, 15, itu hanya tanah merah namun boleh dilalui kenderaan seperti motosikal dan kereta.
Air sungai juga keruh dan sampah-sarap memenuhi hujung perangkap itu.
Kawasan terbabit seolah-olah juga menjadi tempat pelupusan sampah dengan sebuah jentera pengorek (excavator) ditempatkan di situ.
Malah kepulan asap dilihat keluar dari timbunan sampah.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia mendapat maklumat berhubung kejadian penemuan mayat itu menerusi aplikasi WhatsApp, Ahad lalu.
Dia mendakwa, mayat tanpa mengira jantina sering ditemukan di kawasan itu.
“Cuma kami terkejut apabila mayat yang ditemukan Sabtu lalu dikatakan ada kaitan dengan kes kehilangan remaja perempuan itu,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, tinjauan di Hospital Banting pula mendapati tiada kelibat keluarga mangsa di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Difahamkan, proses bedah siasat sudah dijalankan ke atas mayat itu.
Terdahulu tiga lelaki, termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu, ditahan polis.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 16, 20, dan 51 tahun, membabitkan teman lelaki serta dua ahli keluarganya, yang ditahan semalam direman sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.