comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk cemas rasai gegaran, dengar dentuman kuat di Ipoh

Diviya menceritakan detik cemas merasai gegaran sekitar 11 pagi tadi ketika sedang bekerja di pejabat di Medan Istana, Ipoh disusuli terdengar bunyi kuat seakan dentuman. – Foto: NSTP

IPOH: Satu gegaran kuat dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Ipoh sekitar jam 11 pagi tadi dengan disusuli bunyi seakan dentuman kuat sehingga menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penduduk bandaraya ini.

Seorang penduduk, M Diviya, 30, berkata, dia dan rakan sekerja berlari keluar dari pejabat mereka di Medan Istana, di sini sebaik merasai gegaran terbabit.

“Ketika kejadian, saya sedang lakukan kerja di bilik. Tiba-tiba, saya rasa bangunan bergegar, pintu kaca seakan hendak pecah.

“Dalam masa sama, saya terdengar bunyi seakan dentuman dari bahagian atas bangunan, jadi kami terus berlari keluar dari pejabat kerana risaukan keselamatan diri.

“Saya sudah hubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk maklumkan kejadian ini,” katanya.

Seorang lagi saksi, Noor Zaiti Nabilah Ahmad, 32, berkata, dia turut berlari keluar dari pejabat guaman di Medan Istana, di sini sebaik merasai gegaran itu.

“Apabila dengar bunyi yang kuat, terlintas di fikiran saya itu mungkin bunyi bom. Kami rasa amat terkejut.

“Sepanjang enam tahun bekerja di sini, inilah kali pertama saya rasai pengalaman begini,” katanya.

Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta turut dirasai pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.

“Seram betul, baru sekejap tadi bergegar bangunan. Macam bunyi letupan kuat,” kata seorang pengguna Facebook, Ayu Balqishah.

Bagaimanapun, usaha media mendapatkan maklum balas JMG masih belum berjaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini