Oleh: Safwan Sawi
RANAU: Penduduk di dua kampung di Ranau, Sabah mengambil inisiatif sendiri membina jambatan sementara menggunakan batang buluh selepas jambatan utama yang menghubungkan dua kampung berkenaan dilaporkan runtuh dan dihanyutkan arus deras Jumaat lalu.
Video tular memaparkan penduduk di Kampung Mohimboyon Waang Lama dan Kampung Lipantai sedang bergotong-royong membina jambatan bagi kegunaan mereka merentasi sungai.
Jambatan asal yang dibina dengan konkrit dilaporkan mula rosak dan tidak boleh dilalui sejak Isnin lalu akibat arus deras Sungai Tahukag yang melimpah.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Ranau telah melakukan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi kejadian.
Sementara itu, Pusat Kawalan Operasi Bencana Ranau dalam satu kenyataan berkata semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Pejabat Daerah Ranau telah ditutup.
Paras air kini berada pada tahap normal dan kawasan yang terkesan banjir telah pulih.
Walau bagaimanapun, penduduk diingatkan terus berhati-hati ekoran amaran hujan berterusan tahap waspada bermula esok hingga 11 Januari depan yang turut melibatkan daerah Ranau.