GUA MUSANG: Sepasang suami isteri berdepan detik cemas apabila terserempak dengan seekor gajah liar yang berkeliaran dan merosakkan tanaman di kawasan rumah mereka di Felda Perasu pada pagi Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Khamis lalu itu, Sukri Solanuddin, 36, bersama isteri, Azura Mat Hassan, 36 dan dan empat anaknya baru pulang dari menyaksikan sambutan Ambang Merdeka di bandar Gua Musang.
Sukri berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi bising di tepi rumahnya apabila zink yang dijadikan pagar dipijak gajah berkenaan.
“Semasa saya sampai di rumah, elektrik terpadam dan terdengar bunyi bising berdekatan rumah. Saya sangkakan lembu cuba masuk ke kawasan kebun, tetapi apabila menyuluh ke arah bunyi terbabit saya terkejut apabila mendapati ia adalah seekor gajah dan ketika itu sangat dekat dengan saya.
“Saya terus lari masuk ke dalam rumah kerana sangat terkejut dan memberitahu isteri ada ‘orang besar’ di tepi rumah dan meminta mereka mendiamkan diri.
“Selama 20 minit kami berada di dalam rumah sebelum keluar mendapatkan bantuan penduduk kampung untuk memeriksa keadaan di sekitar rumah,” katanya ketika ditemui di Felda Perasu di sini.
Menurut Sukri, sejak kejadian itu, dia dan keluarganya berada dalam ketakutan dan tidak dapat tidur lena kerana bimbang gajah itu akan kembali lagi.
Katanya, gajah itu telah merosakkan tanaman seperti pisang, kelapa dan betik yang ditanam di tepi rumah yang jaraknya hanya dua meter.
“Keesokan paginya kami dapat melihat ada kesan tapak kaki, najis serta pokok yang dimusnahkan gajah tersebut.
“Saya bimbang jika gajah itu kembali menyerang kerana saya bekerja di Kuala Lipis dan pulang dua minggu sekali ke rumah ini,” katanya.
Manakala, seorang lagi penduduk, Mat Yunus Majid, 67 berkata, kemunculan gajah terbabit juga menyebabkan hampir 100 pokok kelapa miliknya musnah.
Katanya, penduduk mengetahui ada gajah di kawasan sekitar Felda Perasu itu lebih tiga tahun lalu, namun haiwan terbabit tidak pernah masuk ke penempatan penduduk sebelum ini.
“Ini kejadian kedua gajah liar itu masuk ke penempatan penduduk dan merosakkan tanaman. Kami bimbang sekiranya ia berterusan boleh membahayakan nyawa penduduk di sini.
“Di Felda Perasu ini boleh dikatakan setiap tahun ada haiwan liar yang merosakkan tanaman dan membunuh ternakan seperti harimau, beruang dan gajah.
“Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat bertindak segera dengan menghalau haiwan liar berkenaan supaya keselamatan penduduk serta mengelakkan kerugian.” katanya.