Tumpuan :
Nasional

Penduduk bimbang banjir buruk 13 tahun lalu berulang

Mazni Ahmad bersama suaminya, Abdul Razak Din mencuci rumah mereka yang dinaiki air kali ketiga hari ini disebabkan limpahan air Sungai Anak Bukit di Taman Aman yang sudah melepasi paras bahaya.-Foto: NSTP.

ALOR SETAR: Tiga sungai di daerah ini sudah melepasi paras bahaya menyebabkan penduduk di kawasan sungai berhampiran bimbang kejadian banjir 2010 kembali berulang.

Penduduk mendakwa, kejadian banjir yang berlaku kali ini sama seperti 13 tahun lalu namun situasinya berbeza kerana tiga kali air sungai melimpah dalam tempoh kurang sebulan, manakala banjir tahun 2010 menyebabkan banyak rumah tenggelam.

Ketika ini, katanya Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya sudah melebihi paras bahaya.

Keadaan itu menyebabkan penduduk redha dan bersedia untuk berulang alik pindah dari pusat pemindahan sementara (PPS) ke rumah disebabkan cuaca hujan yang tidak menentu.

Selain itu, ramalan air pasang besar yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober ini menyebabkan kebanyakan mangsa banjir kini masih tidak pasti keadaan yang mungkin akan berlaku selepas ini.

Penduduk Kampung Alor Madi, Mohd Rizal Ramli, 48, setakat ini dia mengalami kerugian hampir RM2,000 selepas rumahnya dinaiki banjir tiga kali sejak 17 September lalu.

“Banyak barangan yang sudah dibuang antaranya permaidani dan almari.

“Bukan hanya barang yang rosak malah kami juga memang terasa letih kerana perlu mencuci rumah berkali-kali selain bercampur selut.

“Kebanyakan barangan perabot terpaksa saya letakkannya di tempat tinggi dan rumah terpaksa juga dicuci bagi mengelakannya berbau busuk akibat lumpur,” katanya ketika ditemui di lokasi banjir, hari ini.

Mohd Rizal berkata, dalam keadaan sekarang, perkara paling penting adalah keselamatan ibunya, Fatimah Ismail, 85, yang sudah tidak kuat untuk berjalan.

Katanya, ketika ini, dia terpaksa menghantar ibunya ke rumah abangnya di Taman Aman demi keselesaan dan keselamatannya.

Mohd Rizal berkata, kampung itu yang terletak berhampiran Sungai Anak Bukit dinaiki air buat kali ketiga semalam selepas hujan lebat selama tiga jam bermula 9 malam.

Sementara itu, penduduk lain, Takiyuddin Abd Wahid, 57, berkata, dia mengharapkan masyarakat terutamanya mereka yang tinggal berhampiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit supaya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah di sungai.

“Selepas hujan, biasanya kita dapat melihat sampah-sampah tersangkut di jambatan utama yang merentasi sungai bagi menghubungkan Kampung Alor Madi serta Taman Aman dengan laluan utama Anak Bukit.

“Mujur pihak berwajib sering membersihkannya malah ada juga sekali-sekala penduduk menolak semua sampah berkenaan menggunakan buluh bagi melancarkan aliran air,” katanya.

Seorang warga emas di situ, Mazni Ahmad, 70, turut bersetuju dengan pandangan Takiyuddin dan mengharapkan supaya orang ramai dapat menanam sifat bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan sungai.

“Saya dan suami, Abdul Razak Din, 73, pun bukannya kuat sangat tetapi kami tidak mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai.

“Saya berharap semua pihak dapat memainkan peranan supaya aliran air lancar dan tidak tersekat dengan sampah di jambatan tersebut, yang mungkin akan memburukkan keadaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini