![](https://media.buletintv3.my/2023/05/48YyOWeY-CMS-PPZ-31.jpg)
HULU BERNAM: Terpaksa berdepan bahaya dan risiko kerosakan kenderaan akibat jalan berlubang mendorong penduduk mengambil inisiatif membaiki jalan di Jalan Kampung Sri Keledang ke Kampung Alah Batu, dekat sini menggunakan wang sendiri.
Jalan sepanjang enam kilometer itu adalah laluan utama bagi penduduk Kampung Seri Keledang melakukan urusan harian di pekan Slim River, Perak.
Penduduk, Hamizi Md Nur , 51, berkata, keadaan jalan yang berlubang bukan sahaja membahayakan pengguna malah menyebabkan kerosakan kenderaan.
Katanya, jalan yang sempit kemudian keadaan tebing yang tinggi juga menyebabkan kenderaan yang lalu lalang terdedah kepada bahaya.
“Ada juga bahagian jalan yang beralun dan tidak rata menyebabkan sebuah kenderaan perlu berhenti memberi laluan apabila berselisih.
“Kami terpaksa mengambil inisiatif sendiri sebelum terjadi sesuatu yang tidak diingini terutama membabitkan penduduk kampung yang berulang alik menggunakan jalan terbabit setiap hari,” katanya ketika ditemui, dekat sini.
Malam tadi, beliau bersama beberapa orang penduduk berkongsi wang membeli simen dan batu bergotong-royong menampal lubang pada jalan berkenaan bermula jam 11 malam sehingga 2 pagi.
Hari ini, seorang lagi penduduk, Abd Hakim Musa, 42, pula menyambung kerja menampal jalan terbabit juga dengan menggunakan wang sendiri.
Abd Hakim berkata, apa yang dilakukan adalah inisiatif sendiri tanpa ada sumbangan mana-mana pihak yang memberi wang atau sumbangan.
Katanya, jalan berkenaan bukan sahaja membahayakan penunggang motosikal malah kepada kenderaan lain yang lalu lalang terutama pada waktu malam dan hujan.
“Saya membeli simen dan batu manakala pasir diambil di kawasan lombong terbiar untuk menampal jalan berkenaan.
“Ini bukan kali pertama saya menampal jalan berkenaan kerana sebelum ini saya hanya menampal jalan dengan tanah berhampiran tetapi tidak tahan lama dan rosak kembali,” katanya.