comscore
Tumpuan :
Nasional

Penduduk akan terima bekalan air berperingkat mulai jam 10 malam – PBAPP

Foto: NSTP

BUKIT MERTAJAM: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi jaminan bekalan air kepada pengguna di daerah Seberang Perai Tengah dan Selatan yang terjejas susulan insiden kebocoran paip di Permatang Pauh, dekat sini dapat disalurkan secara berperingkat mulai jam 10 malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan, berkata pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi pengguna berikutan situasi luar jangka itu yang berpunca daripada kesilapan kontraktor pihak ketiga yang telah merosakkan paip berkenaan.

Bagaimanapun, katanya PBAPP sedang berusaha sehabis baik untuk membaiki kebocoran paip yang terletak sedalam 15 meter (m) pada masa yang telah ditetapkan dengan kerja-kerja kemajuan mencapai 90 peratus.

“Seperti kita dapat lihat kedudukan paip yang terletak di tengah-tengah jalan dan di bawah jambatan menyebabkan kerosakan terhadap laluan terbabit sekali gus mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Oleh itu, kami mengambil pendekatan di mana penggantian paip baharu ini dilencongkan bagi meminimumkan kerosakan.

“Setakat ini, masih terdapat berbaki kerja selenggara sebanyak 10 peratus termasuk kerja kimpalan yang sedang dilaksanakan, namun kita berharap ia akan dapat siap mengikut jadual ditetapkan supaya bekalan air dapat disalurkan semula kepada pengguna pada jam 10 malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau kerja-kerja penggantian paip bocor itu bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berhampiran Politeknik Seberang Perai (PSP), di sini, hari ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari (dua dari kiri) danKetua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan (tiga dari kiri) meninjau kerja-kerja pemasangan paip 1200 milimeter (mm) baharu sepanjang 180 meter di Jalan Permatang Pauh. Foto NSTP

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, pihaknya masih perlu melaksanakan beberapa prosedur bagi kerja-kerja penggantian saluran paip baharu sepanjang 180m itu sebelum menyalurkan bekalan air demi keselamatan pengguna.

Sementara itu, Zairil berkata, beliau meminta semua pengguna terjejas dapat bersabar sekejap sahaja sebelum kerja penggantian paip siap sepenuhnya dalam beberapa jam lagi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini