CAMERON HIGHLANDS: Agensi berkaitan dan penduduk di selatan tanah air diminta berjaga-jaga serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi gelombang keempat Monsun Timur Laut (MTL) yang kini beralih ke kawasan selatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata agensi serta jawatankuasa negeri perlu bersiap siaga untuk mengambil tindakan segera menghadapi bencana dibawa MTL, termasuk banjir.
“Luruan gelombang keempat MTL telah beralih ke selatan. Saya berharap tindakan segera mengikut SOP yang ditentukan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan lain-lain agensi, dapat diikuti oleh semua jawatankuasa serta agensi terbabit,” katanya, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut keadaan banjir di Johor, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, mangsa kembali mencatat peningkatan tetapi dengan kerjasama agensi terbabit, pengurusan banjir didapati semakin baik berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelumnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Ruil yang menempatkan 88 penduduk daripada 17 keluarga yang terkesan susulan insiden tanah runtuh pada tahun lalu.
Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kementerian berkenaan akan memendekkan tempoh perolehan bagi membaiki cerun di penempatan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, dekat sini, yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada 12 Oktober lalu.
Beliau berkata, ia bagi mempercepatkan tempoh pembaikan cerun terbabit yang dijangka mengambil masa dua tahun dengan membabitkan peruntukan RM3 juta.
“Oleh kerana tempoh untuk mereka bentuk, perolehan serta penyiapan itu terlalu panjang, kami akan melakukan tindakan bagi memperoleh kelulusan khas untuk memendekkan tempoh perolehan dengan kaedah-kaedah yang diluluskan Kementerian Kewangan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, beliau telah diberi jaminan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa struktur kediaman penduduk terbabit adalah stabil dan kukuh, justeru mereka tidak perlu bimbang jika perlu pulang ke rumah masing-masing apabila tiba masanya nanti.
Dalam pada itu, katanya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menanggung sepenuhnya pembayaran sewa kuarters Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menempatkan 17 keluarga berkenaan, mulai Februari depan.
Beliau berkata, TNB sebelum ini bersetuju menawarkan sewa RM500 seunit serta mengecualikan bayaran deposit sewaan selama tiga bulan, dan penduduk berkenaan akan tinggal sementara di kuarters itu selama dua tahun. – BERNAMA