TAMPARULI: Lebih 1,500 pengguna Jalan Lama Tamparuli-Ranau di sini, bakal terputus hubungan dengan kawasan lain jika beberapa bahagian laluan itu yang terjejas kejadian mendapan, hakisan dan tanah runtuh tidak dibaiki dalam waktu terdekat.
Jalan utama bagi penduduk tujuh kampung berkenaan rosak sejak setahun lalu akibat hujan lebat.
Bagaimanapun, pengguna dari Kampung Togop, Lingga, Bambangan Lama, Namadan, Rangalau Lama dan Bawang terpaksa terus menggunakan jalan itu, walaupun sedar risiko bahaya menanti kerana tiada pilihan.
Tinjauan BH mendapati beberapa bahagian jalan itu mendap, terhakis dan runtuhan serius berlaku di beberapa kawasan menyebabkan laluan boleh digunakan kenderaan sempit.
Jabatan Kerja Raya (JKR) meletakkan kon dan pita berhampiran bahagian jalan yang bermasalah itu sebagai tanda peringatan kepada pengguna supaya berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan.
Pengguna, Edward Johnson, 64, berkata ada kejadian mendapan dan runtuhan pada bahagian jalan itu berlaku lebih setahun lalu, namun tiada pembaikan dilakukan.
Rosman Jumari, 57, pula berkata jalan yang wujud sejak 1950-an itu sering berdepan ancaman mendapan, hakisan dan runtuhan kerana di kawasan berbukit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.