Oleh: Juliana Sharin
KUALA LUMPUR: Malaysia kekal konsisten dengan pendiriannya terhadap perlindungan kedaulatan, hak dan kepentingan negara di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara sentiasa menyokong penyelesaian secara aman dan membina bagi semua pertikaian selaras norma dan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal.
Ia termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 mengenai Undang-undang Laut.
“Ketenteraan berterusan di wilayah maritim ditambah dengan penggunaan taktik zon kelabu untuk mengukuhkan tuntutan dan menghalang eksploitasi sumber yang sah adalah tidak aman dan tidak membina, ” katanya berucap pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik (APR) ke-36 di ibu negara.
“Lebih berbahaya ialah laporan berterusan mengenai ekosistem maritim yang semakin merosot dan stok ikan yang musnah akibat penangkapan ikan secara haram dan tidak terkawal,” katanya lagi.
Datuk Seri Anwar hadir sempena persidangan APR anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia dan ASEAN-ISIS.
Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Program selama tiga hari bermula selasa ini bertemakan ‘An Age of Strategic Uncertainty’ membincangkan pelbagai isu mengenai geopolitik, keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.