comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendidikan untuk semua, kerajaan tidak pinggir golongan tertentu – Zambry

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dakwaan kerajaan meminggirkan golongan tertentu dalam pendidikan negara adalah tidak benar dan telah dimanipulasi oleh segelintir pihak.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan, dasar akses pendidikan adalah kekal iaitu pendidikan kepada semua rakyat.

Menurutnya, dasar itu tidak akan berubah kerana peluang kepada pendidikan perlu diberikan kepada semua peringkat sama ada daripada kumpulan B40, M40 atau T20.

“Saya ingin membetulkan kepada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi seolah-olah kerajaan ini tidak tahu ataupun (mendakwa) Perdana Menteri sendiri tidak tahu realiti yang ada (kononnya) mengatakan bahawa orang kaya tidak akan pergi ke universiti (awam) ataupun tidak menghantar anak mereka ke sekolah (kerajaan).

“Ini adalah satu pandangan yang bermain dengan sentimen politik dan sebab itu apabila kita menyuarakan pandangan ini, kita mahu supaya kalau ada pun pandangan atau kritikan, berikan pandangan yang membina supaya kerajaan boleh melihat dari perspektif yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024, di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan kerajaan mungkin menghentikan subsidi membiayai pendidikan anak golongan kaya di sekolah awam terbaik negara.

Menyifatkan tindakan membiarkan ketirisan subsidi besar seperti itu berterusan sebagai tindakan tidak adil, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, dana berkenaan sepatutnya boleh diagih kepada golongan miskin.

Bagaimanapun, Zambry semalam dilaporkan berkata, sebarang langkah menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) hanya akan dilaksana selepas mendapat kelulusan Kabinet.

Mengulas lanjut, Zambry mahu mana-mana pihak tidak memanipulasi perkara yang disuarakan Perdana Menteri berhubung isu tersebut.

“Dasar kerajaan untuk memberi peluang kepada semua peringkat, semua kalangan sama ada mereka daripada B40, M40 termasuk juga T20 untuk masuk ke universiti adalah sama.

“Tetapi pada masa sama, kita perlu melihat juga kemampuan kewangan terutama dalam kalangan keluarga susah dan sukar mendapat tempat belajar, ini kita berikan keutamaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini