Tumpuan :
Nasional

Pendidikan agenda utama Melaka tingkat taraf hidup orang asli

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali

ALOR GAJAH: Pendidikan antara agenda utama diberi penekanan oleh kerajaan negeri Melaka dalam usaha mengubah serta meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata antara usaha dijalankan ialah menerusi pembukaan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Surau Al-Ikhwan, Kampung Orang Asli Bukit Payung di sini dalam masa terdekat.

“Saya tak nak pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli di Melaka jauh ketinggalan kerana hanya menerusi pendidikan awal mampu mengubah kehidupan mereka.

“Saya mahu melihat ada perubahan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di kampung ini… saya mahu anak-anak Orang Asli pergi ke sekolah untuk mendapatkan pelajaran duniawi dan ukhrawi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Cakna Ummah Masyarakat Orang Asli Bukit Payung yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud.

Sulaiman berkata selain aspek pendidikan, kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya MAIM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berusaha meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli menerusi pelbagai program dan skim bantuan.

“MAIM mempunyai 23 skim bantuan untuk membantu golongan asnaf fakir, mualaf dan miskin termasuk Orang Asli seperti bantuan makanan bulanan, bantuan tunai bulanan mualaf baharu, bantuan saraan anak sekolah, elaun sagu hati kehadiran kelas fardu ain dan bantuan sakit kronik.

“Menerusi JAKOA pula, pelbagai program dan bantuan telah dirangka antaranya program latihan dan kemahiran, menyediakan peluang kerjaya kepada belia dan beliawanis Orang Asli, program peningkatan taraf hidup Orang Asli bagi peningkatan ekonomi kumpulan sasar serta penjagaan kesihatan Orang Asli,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan kunci rumah baharu di bawah program Baitun Soleh MAIM bernilai RM30,000 kepada mualaf baharu Johari Sudah, 49, selain sumbangan RM10,000 untuk membaiki Surau Al-Ikhwan kepada Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Payung, Nur Isjemei Ismail.

Sementara itu, Johari berkata beliau amat bersyukur dan terharu menerima rumah tersebut kerana sebelum ini pondok yang didiaminya selama lebih 20 tahun telah uzur dan bocor di bahagian atap sehingga sering dimasuki air hujan.

“Alhamdulillah, gembira dan syukur… tahun ini dapat beraya di rumah baharu dan lebih selesa. Terima kasih kepada kerajaan negeri dan MAIM,” katanya yang tinggal bersendirian. – BERNAMA

Loading...
Terkini