comscore
Tumpuan :
Nasional

Penderitaan Roliza berakhir, empat anak jadi yatim piatu

Foto: Penderitaan Roliza berakhir, empat anak jadi yatim piatu

ALOR SETAR: Pesakit kanser payu dara tahap empat, Roliza Md Zain, 32, menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.

Kisah penderitaan Roliza pernah disiarkan Berita Harian pada 28 November tahun lalu, apabila dia dijaga anak sulungnya yang berusia 10 tahun selepas dia terlantar sakit sejak dua tahun lalu.

Anaknya, Nur Saffiya Irdina, ketika itu menguruskan ibunya menukar lampin pakai buang serta memberi makan kepada ibunya, seawal jam 4 pagi sebelum ke sekolah.

Dia yang kehilangan bapa, Mohd Firdaus Marzuki, 35, yang meninggal dunia akibat penyakit jantung dan paru-paru berair dua tahun lalu, tinggal bersama ibu saudara mereka di Kampung Charuk Purun, Tawar, Kuala Ketil, Baling bersama tiga adiknya yang berusia dua tahun hingga lapan tahun.

Menurut kakak arwah, Rohani Md Zain, 45, berkata, adik bongsu dari tujuh beradik itu meninggal dunia pada jam 7.25 malam ini di rumahnya di Tawar, Baling.

Katanya, doktor memaklumkan kanser yang dialaminya sudah merebak ke seluruh badan sehingga akhirnya dia menghembuskan nafas terakhir.

“Sejak beberapa hari lalu, arwah banyak mendiamkan diri dan tidak berselera makan.

“Jenazah akan dibawa ke kampung kami di Bukit Hijau malam ini untuk dikebumikan di sana…Sekarang jenazah masih di rumah saya, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rohani, dia akan menjaga empat anak arwah selagi terdaya kerana mereka hilang tempat bergantung dan hidup yatim piatu.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan berharap mereka tabah dalam melalui ujian ini.

Menurutnya, CSM pernah menghulurkan sumbangan wang tunai, susu formula khas serta sokongan kepadanya untuk meneruskan rawatan sebelum ini.

“Saya harap empat anak-anak arwah dijaga sepenuhnya oleh ahli keluarganya dan kita akan bantu sekiranya diperlukan oleh mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kisah pesakit itu turut mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Zakaria Othman serta beberapa pempengaruh sosial, termasuk Ebit Lew dan Cik Puan Gojes selepas kisahnya disiarkan akhbar. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini