
Oleh: Hilmi Abdul Malik
KUALA LUMPUR: Usaha untuk memendekkan tempoh tahanan SOSMA dilihat mampu mengatasi isu kesesakan di penjara selain ia merupakan usaha murni dalam menuntut aspek hak asasi manusia.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, tindakan itu akan turut membantu mengurangkan kes perbicaraan yang telah berlarutan lama.
“Kalau boleh tempoh tahanan 28 hari itu boleh dipendekkan lagi kerana individu boleh ditahan (28 hari) sebelum dibawa ke mahkamah dan ini satu penafian terhadap hak asasi manusia.
“Seeloknya kita selaraskan juga kes mana yang boleh dijamin dan yang mana tidak boleh dijamin kerana supaya ia akan kurangkan kesesakan di penjara,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 hari ini.
Mengulas lanjut, usaha itu juga mampu memberi ruang kepada individu yang ditahan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa khususnya mereka yang perlu mencari nafkah untuk keluarga.
Jelasnya, undang-undang juga jelas menyatakan bahawa individu yang ditahan tidak semestinya bersalah sehingga perkara itu dibuktikan di mahkamah.
Bagaimanapun, tempoh tahanan yang terlalu lama juga memberikan kesan terhadap sesuatu kes yang dalam perbicaraan berlarutan dengan agak panjang.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan mewujudkan mahkamah khas bagi mempercepat proses pendakwaan menjadi antara tiga hala tuju kajian pelaksanaan menambah baik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Ini termasuk semakan semula jadual kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak sebelum ini, bagi membolehkan mahkamah memberi jaminan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.