Tumpuan :
Nasional

Pendekatan lebih bersasar ganti tol percuma ketika musim perayaan – Menteri Kerja Raya

Foto hiasan

KLANG: Kerajaan memutuskan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan, seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, keputusan tersebut telah dibuat dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Tanpa memperincikan pendekatan bersasar itu, katanya: “Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar), tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma pada musim perayaan.

“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain, …akan dibincangkan.

“(Keputusan ini kerana) …kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pembukaan Seksyen 2, WCE dari Persimpangan Bertingkat SKVE ke Persimpangan Bertingkat SAE, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali (RM42.31 juta); Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.

Pemberian tol percuma pada Krismas lalu adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini