Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang agihan pelaksanaan dengan kemungkinan menggunakan pendekatan berbeza bagi bantuan program MyLESEN pada tahun hadapan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kerajaan juga bersetuju meneruskan program yang menawarkan lesen memandu kepada golongan B40 dan belia pada tahun hadapan.
Katanya, menerusi program itu, kerajaan telah menanggung bayaran latihan dan ujian memandu yang memanfaatkan lebih 36,000 golongan B40.
“Kita juga telah menerima lebih 130,000 permohonan bagi program ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 41,853 permohonan layak untuk menyertai program ini selepas melepasi tapisan mengikut syarat–syarat yang telah ditetapkan.
“Program ini merupakan komitmen dan usaha cakna kerajaan untuk membantu golongan B40 untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah melalui peluang pekerjaan terutamanya ekonomi gig.
“Inisiatif ini juga sebagai langkah untuk melahirkan pemandu yang kompeten dan selamat seterusnya meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pematuhan peraturan-peraturan jalan raya dan juga pembudayaan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau juga berharap penerima bantuan di bawah Program MyLESEN akan memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya kerana program ini merupakan salah satu usaha murni kerajaan kepada golongan sasar.
Tahun ini katanya, seramai 1,824 individu terdiri daripada golongan B40 menerima manfaat Program MyLESEN 2024 peringkat Kuala Lumpur.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,790 menerima Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2, 14 Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) E-Hailing dan 20 lesen PSV Bas.
Dalam pada itu, penerima MyLESEN yang ditemui Zaini Ismail, 62, menyambut baik usaha kerajaan ini.
“Alhamdulillah, saya dapat juga lesen ini walaupun di usia 62 tahun. Terima kasih pada kerajaan, tapi mungkin yang akan datang, diperbanyak usaha macam ini,” katanya.
Bagi Norlida Manap, 61, dia yang berkali-kali gagal untuk mendapatkan lesen, kini sudah boleh menunggang motosikalnya dengan rasa tenang.
Pada Belanjawan Madani 2025 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan meneruskan bantuan lesen motosikal kepada 15,000 anak muda kurang berkemampuan seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.