comscore
Tumpuan :
Nasional

Pendedahan PAC & LKAN: KESUMA buat laporan SPRM ketidakaturan HRD Corp

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).

Menterinya, Steven Sim berkata, sejajar syor Ketua Audit Negara, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Eksekutif HRD CORP, Datuk Shahul Dawood untuk berbuat demikian.

Malah, beliau turut mengarahkan KESUMA dan HRD CORP untuk memberikan kerjasama penuh kepada JAN dan PAC, selain menegaskan pihaknya tiada halangan sekiranya mana-mana agensi berkaitan ingin melakukan siasatan lanjut.

“Dalam masa enam bulan ini, KESUMA telah memulakan proses rekayasa (reengineering) merentasi seluruh kementerian, untuk memastikan tatakelola yang baik dan proses yang cekap di seluruh kementerian dan agensinya.

“Matlamat saya adalah untuk memastikan KESUMA mencapai tahap tatakelola dan tadbir urus korporat yang tertinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilapor berkata, matlamat penubuhan syarikat adalah bagi pengenaan dan pemungutan levi pembangunan sumber manusia bagi maksud penggalakan latihan dan pembangunan kerja, perantis dan pelatih serta penubuhan dan pentadbiran Kumpulan Wang.

Sementara itu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan semalam juga mengesyorkan KESUMA merujuk kepada agensi penguatkuasaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung ketidakteraturan yang dikenal pasti terhadap pengurusan HRD Corp.

LKAN turut mendapati HRD Corp mempunyai kelemahan pengurusan dalam melaksanakan operasi dan aktiviti syarikat mengikut tatakelola dan peraturan ditetapkan hingga agensi itu belum mencapai objektif penubuhannya, termasuk petunjuk utama prestasi (KPI) 2023 dan pindaan indikator KPI tidak diluluskan lembaga pengarah.

Mengulas lanjut, menurut Steven, KESUMA mengambil serius laporan tersebut.

Ujarnya, beliau dimaklumkan mengenai proses pengauditan JAN dan PAC terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023 ketika mengambil alih portfolio kementerian pada pertengahan Disember tahun lalu.

“Rekayasa KESUMA di peringkat HRD CORP telah dilaksanakan untuk memastikan isu yang dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC tidak akan berulang.

“KESUMA tidak akan berkompromi dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini