Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Kemeriahan sambutan bulan kemerdekaan menambah rezeki kepada seorang tukang jahit di sini apabila menerima banyak tempahan sewaan baju kemerdekaan dan etnik.
Bagi Kamsiah Semadi, 54 tahun, kedatangan bulan kemerdekaan disifatkan sebagai ‘waktu bonus’ untuknya yang hanya mengenakan sewa pada kadar yang berpatutan.
Wanita ini yang sudah menjadi tukang jahit di Kampung Besut selama 20 tahun mula membuat perkhidmatan menyewa baju kemerdekaan sejak lima tahun lalu.
Katanya, cetusan idea itu timbul selepas melihat ramai ibu bapa yang tidak mampu untuk menempahnya untuk anak mereka berikutan harganya yang mencecah ratusan ringgit bagi sepasang baju.
Selain daripada itu dia turut mempunyai pelbagai jenis pakaian etnik yang sering dipakai oleh pelajar sepanjang sambutan bulan kebangsaan dan Hari Malaysia di sekolah mereka.
Kamsiah berkata, kadar sewaan baju yang dikenakannya sekitar RM50 hingga ke RM70 bagi sekali sewaan berdasarkan kepada jenis baju dan aksesori tambahan yang diperlukan.
“Tahun ini banyak baju kita kurangkan harga daripada tahun lepas, sebab kita tengok ekonomi sekarang pun macam ibu bapa yang ramai anak, kalau satu keluarga tu tiga orang sewa, maknanya, dah berapa, kos diaorang untuk sewa, jadi kita, ehsan kita lah, bagi harga murah sikit”, katanya.
Ibu bapa, Rossy Mat Rahim dan Norazimawati Jamal Abdul Nasir ketika ditemui turut gembira dengan harga sewaan baju yang dikenakan Kamsiah.
“Saya rasa memang tu lah, senang untuk kita, ibu bapa semuakan, peluang untuk kita, cari persediaaan macam ni, semua, kat Kemaman ini macam tak banyaklah, perkhidmatan macam ni, ” katanya.
“Ya, memang tak terbeban sangat, sebab sewa je kan, kalau nak buat rasanya, tak mampu kot, mahal sangat, ye banyak pilihan, macam – macam, fesyen pun ada, macam-macam, pilihan lah,” ujar pelanggan Norazimawati Jamal Abdul Nasir.
Kamsiah berkata, sebahagian busana yang dihasilkannya turut mengambil kira peredaran fesyen semasa dan mengikut cita rasa pengguna masa kini.
Jelasnya bagi perancangan masa depan, Kamsiah bercadang untuk memperbanyakkan lagi rekaan baju Kebangsaan dan etnik untuk kegunaan pelajar dan juga untuk orang dewasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.