
RANAU: Pendaki lelaki warga British meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu, pagi tadi.
Pendaki berusia lingkungan 70-an dilaporkan tidak sedarkan diri di Kilometer 8.2 selepas Check Point Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.17 pagi.
Katanya, sepasukan lima pegawai dan anggota termasuk Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MoSAR) serta malim gunung dan anggota ParkSAR dikerah ke lokasi kejadian.
“Pasukan MoSAR bersama ParkSAR dan malim gunung memberi rawatan awal dan mengangkat mangsa ke Panalaban Hut.
“Mangsa kemudian dibawa turun hingga ke Timpohon Gate,” katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di Timpohon Gate jam 5.08 petang, mangsa tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan jam 5.21 petang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.