
CAMERON HIGHLANDS: Seorang wanita warga Belanda berusia 51 tahun yang cedera ketika mendaki Gunung Jasar semalam berjaya diselamatkan dan menerima rawatan awal sebelum diusung turun oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, operasi menyelamat diketuai oleh Komandan Operasi Wan Muhammad Faiz Wan Asri bersama lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands serta polis.
Pasukan SAR tiba di lokasi kejadian selepas tiga jam perjalanan.
“Mangsa cedera di lutut dan diberi rawatan awal menggunakan ‘Lower Splint’ sebelum diusung turun menggunakan pengusung,” katanya.
Operasi tamat pada jam 4.55 petang selepas mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Zulfadli turut menasihati pengunjung, termasuk pelancong asing, agar lebih berhati-hati dan membuat persediaan secukupnya sebelum menjalankan aktiviti luar serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.