TANJUNG MALIM: Lapan pendaki cemas selepas terkandas di kaki bukit akibat laluan merentangi sungai dinaiki air susulan hujan lebat dekat Gunung Liang, petang tadi.
Ketua operasi Penolong Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Zairul Fahmi Mohd Nazari, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5.35 petang.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bomba BBP Tanjung Malim dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela Slim Village dihantar ke tempat kejadian.
“Lapan pendaki terkandas di Gunung Liang ketika melakukan aktiviti mendaki.
“Mereka tidak dapat turun ke kaki bukit disebabkan faktor cuaca manakala laluan merentangi sungai dinaiki air akibat hujan lebat,” katanya.
Zairul Fahmi berkata, semua pendaki berjaya dibawa turun dari kaki bukit pada jam 9.35 malam dan operasi tamat jam 10 malam.