RANAU: Seorang pendaki meninggal dunia ketika menuruni Gunung Kinabalu bersama isterinya selepas mengalami sesak nafas, awal pagi semalam.
Mangsa, Alexander Kueh Chek Boo, 46, berasal dari Kuching, Sarawak, disahkan meninggal oleh pasukan perubatan sejurus tiba di Timpohon Gate selepas tidak sedarkan diri ketika di Kilometer 2.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin, berkata mangsa bersama isterinya mula menaiki gunung berkenaan pada Isnin dan tiba di stesen Panalaban kira-kira jam 5 petang.
Bagaimanapun, katanya, pasangan terbabit terpaksa turun semula kira-kira jam 10 malam selepas isteri mangsa mengadu sesak nafas.
Beliau berkata, mangsa turut mengikuti pasukan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), yang mengusung isterinya untuk dibawa turun ke Timpohon Gate.
“Malim gunung menghubungi MOSAR yang berada di Kilometer 5 untuk mendapatkan bantuan, namun usaha pihak bomba untuk menyedarkan mangsa dengan teknik CPR (bantuan pernafasan kecemasan) tidak berjaya menyebabkan mangsa segera diusung turun ke Timpohon Gate,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.