Oleh: Fazli Ahmad
MERAPOH: Seorang pendaki dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus ketika melintasi Sungai Tanum, di Gunung Tahan, semalam ditemui lemas.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemui jam 11:20 pagi tadi di tebing sungai terbabit kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dihanyut arus.
Katanya, mangsa Haniff Harun, 47, dari Kampung Palih Haji Daud, Kg Palih Haji Daud, Kuala Terengganu,Terengganu bersama sembilan pendaki diketuai seorang malim gunung dilaporkan membatalkan pendakian berikutan cuaca buruk semalam.
Menurutnya, ketika perjalanan pulang ke tempat permulaan mendaki di Kuala Jeram dan melintasi Sungai Tanum, kira-kira jam 2:20 petang semalam mangsa dilaporkan dihangutkan arus.
“Kumpulan terbabit memulakan pendakian 20 Januari lalu dan dijangka pulang esok tetapi disebabkan cuaca buruk mereka berpatah balik ke tempat pemulaan mendaki,”
“Kejadian menyeberangi Sungai Tanum selebar kira-kira 20 meter mangsa dihanyutkan arus kerana paras sungai itu meningkat setelah hujan lebat sejak beberapa hari lalu.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurut Azli, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus polis mendapat laporan petang semalam dan ditamatkan selepas mayat mangsa ditemui.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.
Difahamkan, aktiviti mendaki Gunung Tahan dibenarkan mulai 15 Januari lalu walaupun ketika musim tengkujuh.