Tumpuan :
Nasional

Penceramah antara 11 ditahan terlibat sindiket pelaburan kripto Gigamax

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Oleh: Izzatie Rizan

KUALA LUMPUR: Polis menahan 11 individu termasuk dua wanita kerana terbabit dengan skim pelaburan mata wang kripto, Gigamax melibatkan kerugian RM7.25 juta.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, kesemua individu berusia 34 tahun hingga 59 tahun itu ditahan menerusi Op Nuri yang dijalankan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu serta Melaka pada 13 November lalu.

Beliau berkata, antara suspek ditahan adalah pengurusan sebuah akademi pelaburan yang juga badan bukan kerajaan (NGO), penceramah dan individu yang mengeluarkan mata wang kripto.

“Gigamax adalah satu platform yang berfungsi sebagai broker mata wang kripto yang menjadi medium antara pelabur dan pasaran wang kripto.

“Platform ini diperkenalkan dan dipromosikan pada awal Julai 2022 oleh sebuah akademi yang juga sebuah NGO yang menyediakan pendidikan dalam ‘blockchain’ dan ‘decentralization finance’.

Melalui kepakaran dan pengetahuan mereka dalam mata wang kripto, akademi ini meyakinkan ramai pelabur untuk menyertai pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang media di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini hari ini.

Beliau berkata, melalui platform Gigamax, pelabur dibenarkan membuat pengeluaran keuntungan secara harian.

Malah pelabur turut ditawarkan program ‘affiliate’ sebagai motivasi kepada pengguna Gigamax bagi mengajak pelabur baru menyertai mereka.

“Bagaimanapun, setelah kira-kira setahun beroperasi, platform terbabit tidak lagi dapat diakses dan semua pengeluaran keuntungan telah tergendala. Ekoran itu pelabur membuat laporan polis.

“Bermula 27 Jun 2023 sehingga kini, sejumlah 101 laporan polis telah diterima membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM7,259,136.44.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Justeru itu, Datuk Seri Ramli mengingatkan orang ramai yang ingin membuat pelaburan mata wang kripto agar melakukan semakan dan kajian terlebih dahulu sebelum melakukan pelaburan.

“Pengetahuan sebegini amat membantu dalam mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan pelaburan,”

“Sebaliknya rujuklah kepada agensi berkaitan seperti SKMM sebelum membuat sebarang keputusan yang merugikan diri sendiri,” tegasnya.

Loading...
Terkini