comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran Sungai Rinting: Bangkai ikan semakin banyak, undang bau busuk 

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Pencemaran Sungai Rinting dekat Masai sejak semalam semakin membimbangkan apabila jumlah ikan yang mati semakin bertambah dan menyebabkan air sungai berbau busuk.

Sebahagian besar bangkai ikan kelihatan timbul di permukaan air di sepanjang sungai berkenaan kerana pencemaran itu menyebabkan kandungan oksigen berkurangan.

Ketua Kampung Kuala Masai, Mohamad Alhad Ngadimon berkata, sebahagian besar ikan yang mati adalah ikan jenis talapia dan puyu.

“Bila banyak ikan timbul penduduk mula cemas mereka bimbang air yang tercemar boleh memberi kesan kepada penduduk terutama penyakit kulit,” katanya yang ditemui Buletin TV3 pagi tadi.

Beliau berkata, antara kawasan yang paling terjejas termasuk Taman Sierra Perdana dan Kampung Nipah yang terletak di pinggir sungai.

“Petang semalam dua pegawai Jabatan Alam Sekitar datang dan memaklumkan pencemaran itu mengakibatkan kandungan oksigen dalam air turun mendadak menyebabkan pelbagai jenis ikan mati,” ujarnya.

Dakwa seorang lagi penduduk, Baharudin Abd Manap, pencemaran semakin parah apabila air sisa kumbahan dari taman perumahan berhampiran disalurkan terus ke sungai.

Ujarnya, pihak berkaitan perlu bertindak tegas bagi menangani pencemaran berkenaan kerana ia bukan sahaja menjejaskan ikan, malah hidupan lain di sekitar sungai berkenaan.

Semalam Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon  mengesahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima aduan mengenai pencemaran itu.

Katanya, siasatan awal mendapati pemcemaran berpunca daripada sisa kebakaran sebuah kilang yang masuk ke sungai.

JAS turut tmengambil sampel bagi menjalankan siasatan lanjut untuk analisis bagi mengetahui kandungan bahan tercemar sebelum tindakan susulan  diambil.

Pencemaran itu bagaimanapun tiada kaitan dengan kes yang berlaku di Sungai Tebrau, Sungai Skudai pada 3 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini