comscore
Tumpuan :
Nasional

Pencemaran Sungai Kulim: Sisa ternakan dari ladang itik, bukan ladang babi

Oleh: Selwam Arjunan

BUKIT MERTAJAM: Pencemaran Sungai Air Merah di Pulau Pinang dan Sungai Kulim di Kedah yang didedahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam, didapati tidak berpunca daripada ladang ternakan babi.

Sebaliknya, pencemaran disebabkan oleh sisa ternakan dari ladang itik yang terletak berdekatan ladang babi terbabit.

Exco Agroteknologi Pulau Pinang, Fahmi Zainol diiringi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di ladang babi terbabit di Sungai Lembu, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Selepas pemeriksaan dan penjelasan daripada pengusaha ladang babi, mereka melawat ladang itik yang terletak berdekatan untuk tinjauan lanjut.

“Pencemaran bukanlah dari ladang babi, tetapi datang dari ladang itik baka bersebelahan dengan ladang tersebut.

“Kita mendapati bahawa memang ada direct discaj daripada ladang itik, maka ia terus ke Sungai Air Merah dan Sungai Kulim.

“Semua pihak boleh bertenang kerana ianya tidak memberi kesan secara langsung kepada air yang dirawat oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang iaitu loji terletak 14 kilometer dari lokasi ini,” katanya.

Jelasnya, memang terdapat pencemaran air menerusi sisa ternakan, namun ia tidak memberi kesan kepada sumber air yang dirawat di kedua-dua negeri Pulau Pinang dan Kedah.

Justeru, beliau menyeru orang awam agar tidak khuatir dengan keselamatan dan kebersihan air serta tidak membuat kesimpulan yang membabitkan isu sensitif.

“Bagi ladang itik baka ini, kita telah memperincikan bahawa kita akan kenakan tindakan tetapi untuk saat ini ladang tersebut tidak pernah ataupun diberikan lesen lagi.

“Sekiranya diberikan lesen, kita akan kenakan tindakan maksimum RM30,000 denda dan juga penjara 3 tahun kepada pemilik ladang tersebut,” katanya lagi.

Setakat ini, pengusaha ladang berkenaan akan diambil tindakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai mengikut Akta Kerajaan Tempatan bagi penyaluran sisa terawat yang tidak terurus.

Ia akan dikompaun sebanyak RM1000 dan lesen bangunan akan ditarik semula sekiranya ketidakpatuhan itu tidak diselesaikan.

Semalam, JAS Kedah mengesan pencemaran aliran air hitam berpunca daripada kegiatan melepaskan sisa ternakan disyaki dari ladang babi.

Pemantauan dron mengesan pelepasan air hitam disyaki berpunca daripada pelepasan efluen atau air sisa dari aktiviti penternakan.

Pemeriksaan JAS Kedah di sekitar kawasan penternakan mendapati terdapat beberapa kolam melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini